Dengarlah kisah sejarah cinta
Zaman berzaman di tulis orang
Romeo Juliet memaut rasa
Teguh janji mengharungi jurang.
Cinta Laila terhadap Majnun
Cerita di tulis di benua Arab
Alangkah hebat di pasir gurun
Korban setia terputus harap.
Cinta Sam Pek terhadap Eng Tai
Cerita di tulis di benua Cina
Korban cinta bertindih bangkai
Simbol setia membina istana.
Cinta Norma terhadap Idrus
Cerita di tulis di Indonesia
Setia tidak dapat di putus
Nyawa ganti pertaruhan dunia.
Cinta Cleopatra terhadap Anthony
Cerita di tulis di benua Rom
Kerana setia begitu berani
Menyerah negara untuk dirangkum.
Begitulah adanya kisah cinta
Raja Mughol kasihkan Mumtaz
Besar hasrat melambang istana
Taj Mahal indah sebagai pentas.
Betapa teguh pautan jiwa
Manusia wujud di zaman bahari
Sekuat jisim memaut nyawa
Falsafah kekal cinta abadi.
Bukan cinta rambang di mata
Bukan pula cinta hiburan
Tetapi cinta pendorong kuasa
Menimbul seribu satu persoalan.
Banyak korban kerana cinta
Umpama burung lepas sangkar
Tidak sayang mencabut nyawa
Kerana janji di salut ingkar.
Selama manusia masih bernafas
Kisah cinta tak akan berakhir
Walaupun sampai ke angkasa lepas
Di dalam roket cinta mengalir.
~ Sumber2 pantun klasik dari koleksi buku "pantun melayu' oleh A.W Hamilton
& "Ilmu Mengarang Melayu" - Za'aba ~
~ Sumber2 pantun klasik dari koleksi buku "pantun melayu' oleh A.W Hamilton
& "Ilmu Mengarang Melayu" - Za'aba ~