.::.iklan .::.

Sorotan Cinta

Kasih sayang pandang pertama
Cinta tersogok di tepi jalan
Wahai remaja siapakah nama 
Marilah segera kita berkenalan

Rupamu cantik di pandang manis
Senyum bibirmu mengikat jantung 
Hatiku terpaut cinta terlukis 
Hanya sekilas mata merenung 

Alangkah mudah jatuh cinta 
Seperti karan terbuka suis
Terus bercantum wayar tembaga 
Positif-negatif mengontek wayarles

Cinta moden tanpa budi 
Mengail ikan tidak berumpan 
Terus menerus meletak hati
Tak kira akibat di masa depan

Wahai belia muda harapan 
Cinta bukan sekujur janji 
Jangan segera menaruh harapan
Sebelum mempelajari erti budi 

Cinta bukan barang mainan 
Sekadar berputar di sudut mata 
Bermatang fikir sebelum terkorban 
Selidik panjang merata rata

Banyak kisah dunia cinta 
Beribu falsafah manusia ucapkan 
Tujuannya luas merata-rata
Pilihlah satu untuk kebahagiaan. 

Dari Hollywood ke layar putih 
Menunjuk kisah teknik cinta 
Bukan contoh harus di peroleh
Budaya barat jauh berbeza. 

Cinta tidak mengenal kulit 
Mungkin terpaut di mana-mana
Kalau jurang lupakan bukit 
Akibatnya buruk membawa bencana

Apakah hidup kerana cinta 
Atau cinta kerana hidup
Falsafah ini jawab di minta 
Supaya kenal taufan bertiup. 

Istilah cinta seribu satu
Cinta tulin berperi kemanusiaan
Cinta ibu nyata bermutu
Tahan menderita memikul beban. 

Jangan ditimbul jurang generasi
Kerana selisih corak pandangan 
Ayah ibu perlu di hormati
Sebab mereka nafas permulaan. 


Tumbuh manusia di rahim ibu
Kembaran nyawa di bendung takdir
Ayah berserta bersama ragu
Bersusah payah di hari lahir. 


Besar panjang dalam peliharaan
Ilmu di beri di tunjuk ajar
Kenapa tidak diberi ganjaran
Sebagai membalas budi yang besar.